BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand mengeluarkan amaran haba ekstrem untuk Bangkok semalam dan menggesa orang ramai berada di rumah demi keselamatan diri mereka ketika suhu melonjak tinggi, lapor saluran berita CNA. Suhu di ibu kota Thailand itu dijangka mencecah 39 darjah Celsius, manakala indeks haba pula melonjak melebihi bacaan 52 darjah Celsius dan diklasifikasikan sebagai ‘amat berbahaya’ oleh pihak berkuasa Bangkok. Indeks haba adalah ukuran tentang bagaimana suhu dirasai dengan mengambil kira kelembapan, kelajuan angin dan faktor lain. “Amaran: indeks haba hari ini (semalam) adalah ‘amat berbahaya’. Elakkan aktiviti luar. “Indeks haba diklasifikasikan sebagai amat berbahaya apabila ia melepasi bacaan 52 darjah Celsius,” kata jabatan alam sekitar Bangkok dalam satu kenyataan di laman Facebook. April merupakan masa paling panas dan paling lembap dalam setahun di Thailand tetapi keadaan pada tahun ini menjadi lebih buruk disebabkan oleh fenomena cuaca El Nino.
Secara keseluruhan, Thailand dilanda gelombang haba pada minggu ini dengan suhu mencecah 44.2 darjah Celsius direkodkan di wilayah Lampang, utara negara berkenaan pada Isnin lalu. Suhu tersebut menghampiri bacaan tertinggi yang pernah direkodkan di Thailand iaitu 44.6 darjah Celsius. Cuaca panas tersebut dijangka berterusan selama berhari-hari, manakala kerajaan menggesa orang awam supaya kekal terhidrat, memakai krim pelindung matahari dan bersenam di dalam rumah untuk mengelakkan strok haba. Gelombang haba yang melanda Thailand mengakibatkan 30 kematian yang berpunca daripada strok haba pada tahun ini. Sementara itu, Thailand merekodkan sebanyak 24,108 kes demam denggi dengan kebanyakannya menjejaskan kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun sepanjang tahun ini bersama 22 kematian. – AGENSI |
ADVERTISEMENT