KUALA SELANGOR: “Jika ada (lebihan), lebih baik untuk kita segera bersedekah,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Beliau menyeru semua pihak termasuk orang awam tidak menyimpan stok beras dalam kuantiti besar bagi mengelak pembaziran bekalan makanan asas itu. Menurut Mohamad, stok yang disimpan bagi tujuan sumbangan atau perkara lain perlu segera diagihkan. “Mana-mana perkara seumpama itu (menyimpan stok beras) sememangnya tidak boleh. Kalau tidak ada apa-apa, elok lah kita berikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam di sini, hari ini. Baru-baru ini, tular dalam laman media sosial gambar puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said memohon maaf berhubung isu itu dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya selain menyesali perkara yang berlaku. Dalam perkara berasingan, Mohamad mengingatkan orang ramai supaya mengelak pembaziran makanan sepanjang musim lebaran ini. “Ia susulan dapatan konsesi pembersihan Alam Flora menunjukkan bahawa 40 peratus daripada sisa buangan adalah makanan. “Sisa-sisa buangan makanan ketika Ramadhan pula boleh mencapai sehingga 12,000 tan sehari. Jadi, kita kena elak pembaziran dan bekalan pun tak akan berkurangan,” katanya. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT