Pelakon dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan rasa teruja kembali ke dunia lakonan selepas sekian lama 'berehat'. Kata Sarimah, karya terbitan produser, Erma Fatima sangat menarik perhatiannya untuk menerima tawaran berlakon dalam Lelaki Itu.
"Saya teruja sebab ini satu projek besar TV3. Kemudian saya pun dah lama tak berlakon. "Kali terakhir berlakon adalah 15 tahun lalu. Saya sebenarnya tunggu anak perempuan saya besar. Jadi, bila dah besar dia kena terimalah saya masuk set semula. "Berlakon pula di bawah arahan Erma Fatima, siapa yang tak mahu kan? Watak dan jalan cerita drama Lelaki Itu sangat menarik," katanya. Selepas berehat panjang, Sarimah terpaksa mengikuti kelas lakonan bagi mengasah semula bakat lakonannya. "Alhamdulillah, saya tak berapa gemuruh. Sebelum saya terima tawaran ini, saya dah buat latihan dalam lakonan untuk tambah ilmu dan persiapan diri.
"Saya banyak berlatih. Saya suka cara Erma Fatima bekerja. Ia sekali gus dapat menghidupkan watak kita. Kita yang memandu skrip, bukan sebaliknya. "Saya bersyukur apabila bebas untuk tonjolkan apa yang saya ada. Penghafalan saya juga agak baik biarpun sudah banyak buat kerja pengacaraan," katanya. Mengulas watak yang dilakonkannya, kata Sarimah dia tidak pernah membawakan karakter yang mempunyai pelbagai emosi untuk ditonjolkan. "Sepanjang saya berlakon ini, saya tak pernah sepenat secara emosi dengan mana-mana produksi. Bayangkan dalam masa satu hari saya ada 8 babak menangis kemudian gembira pula. Ia berat tapi saya puas," katanya. Sumber: Xtra
|
ADVERTISEMENT