Sherry Al Hadad tak buat reviu produk di media sosial. Katanya dia bukanlah seorang selebriti yang mahu mengejar wang sehingga sanggup membebankan diri melakukan kerja sebanyak-banyaknya dalam satu masa.
“Entahlah, saya ini bukan seorang yang nak sangat fokus pada kerja-kerja buat reviu. Bukan tiada, tetapi tidak semua saya ambil. “Sejujurnya saya agak selektif untuk buat reviu dan antara yang saya akan terima biasanya produk makanan. Selebihnya buat kerana nak bantu kawan-kawan.
“Bila tak perlu, saya memang tak buat apatah lagi untuk produk atau benda yang saya tak pakai. Namun yang paling penting, biasanya saya tak suka sangat nak buat sebab dalam otak saya ini sudah sarat dengan skrip lakonan dan tugas pengacaraan. “Kadangkala, apa yang saya fikir bila sudah selesai kerja hakiki cuma nak balik tidur saja. Ada ketika, solekan tak dicuci lagi pun saya dah tertidur. Jadi bila masa nak buat reviu?,” katanya kepada Utusan.
Mengakui jadual kerjayanya begitu padat, Sherry sedar dia tidak perlu menjadi individu yang tamak dengan membolot semua perkara atas tiket mahu mencari wang. “Misal kata diberi tawaran yang tinggi pun, saya tak ambil. Saya ini bukannya mata duitan, lebih selesa hidup sederhana. Malah saya jenis tak pakai barangan berjenama sangat pun. “Hal ini bukan cuma pada soal buat reviu atau tidak saja, dalam soal kerja lakonan atau mengacara sekali pun, kalau saya lihat ia tak sesuai dengan penampilan dan falsafah hidup saya, maka tidak akan saya buat,”katanya.
Dalam pada itu, melihat kepada prestasi wanita ini dalam bidang pengacaraan, tidak dinafikan, sememangnya Sherry cemerlang dan semakin kukuh berada di kedudukannya sekarang. Kerap kali diberi kepercayaan untuk mengendalikan program-program besar dan berprestij, Sherry, seakan tidak tersaingi oleh sesiapa pun setakat ini. Pun begitu, dalam kerendahan hati, Sherry berkata, dia tidak pernah meletakkan dirinya paling atas kerana sedar mengikut arus zaman, setiap selebriti termasuk pengacara itu akan ada pelapisnya.
“Sebenarnya ramai sahaja pengacara baharu dalam industri ini yang saya tengok berbakat. Bagaimanapun saya percaya semuanya terserah pada waktu yang tepat. “Saya pun bermula dari bawah dan masih lagi ingat, Anugerah Skrin 2013 menjadi titik tolak di mana saya kemudiannya diberi kepercayaan ramai untuk bergelar pengacara. Allah SWT telah menetapkan waktu itu untuk saya mekar sebagai pengacara. “Maksudnya ia sudah tertulis. Pun begitu, saya juga percaya bahawa stesen televisyen juga perlu beri peluang buat bakat-bakat baharu ini mencuba nasib. Jika tidak bagaimana kita nak dapatkan pelapis muda,” katanya. Dalam pada itu, Sherry menasihatkan pelapis baharu dalam dunia pengacaraan supaya menanam sikap ingin belajar dan mahu memperbaiki diri sekiranya terdapat kelemahan.
Katanya, ini penting kerana jika seseorang itu cuma bersandar kepada bakat semata-mata, ia bukan penentu jalan kerjaya yang sempurna. “Ada orang, sekali dia buat terus lancar perjalanannya untuk jadi apa yang dia mahukan. Tetapi ada orang pula waktunya lambat. Jadi mahu atau tidak, kena sentiasa perbaiki kelemahan diri dan tanam sikap nak belajar. “Satu lagi, personaliti anda sendiri yang akan membuatkan seseorang pengacara menyerlah. Kalau ada bakat tapi tiada personaliti susah juga, jadi kena seimbangkan kalau nak berjaya,”katanya. -CARI Sumber: Utusan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|