Ada anak kembar menghidap autisme, Zarina Zainuddin berkongsi pengalaman cemas berdepan situasi hampir sama dengan kisah kanak-kanak bernama Zayn Rayyan. Muhammad Razil Azrai Abu Raihan pernah terjun ke dalam sungai di Perak sewaktu berusia tujuh tahun.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila Razil atau lebih mesra dengan panggilan Azil, 27, mampu berenang ke tepi selepas dipanggil beberapa kali. "Saya balik kampung... rumah saya dekat dengan sungai. Semasa itu Azil tiba-tiba hilang dan tengok-tengok dia ada di sungai. Dia terapung, hanya nampak kepala saja.
"Nak tolong dia pun tak tahu macam mana sebab air memang sangat kuat semasa itu, saya pun tak tahu buat apa. "Tapi dari kecil saya sudah ajar dia berenang jadi dia boleh berenang ke tepi," katanya ketika dihubungi mStar. Memandangkan kanak-kanak memiliki sifat sukakan air, Zarina berkata dia melakukan persediaan awal dengan mengajar anak-anak berenang kerana enggan perkara tidak diingini berlaku.
Malah aktiviti berenang itu juga boleh menjadi terapi terbaik untuk anak-anak istimewa. "Saya memang ajar dia untuk berenang, dari kecil lagi saya dah masukkan dia ke kolam renang... mereka mampu berenang dan timbul semula. "Saya hantar anak-anak ke kelas renang ini sebagai satu terapi untuk mereka sebenarnya... budak-budak ini mereka seronok main air.
"Jadi bila ada kejadian yang tidak diingini berlaku tiba-tiba, sekurang-kurangnya dia tahu nak kawal diri tapi apa-apa pun ini semua kuasa Allah juga," kongsinya. Dalam pada itu, Zarina turut meluahkan rasa simpati dengan nasib menimpa ibu dan bapa kepada arwah Zayn Rayyan. "Anak-anak ini kita tak sempat nak tangkap dan kejar, mereka ini lebih laju dari kita.
"Kejadian tidak dijangka ini bukan sebab kita tak sayang anak tapi terlepas pandang. Kita ini tak cukup kaki tangan dan mata untuk mengawal mereka. "Bila saya baca berita itu saya rasa sedih sebab kita pun ada anak yang sama kan. Sebagai ibu saya tahu mereka rasa bersalah tapi ingat balik kepada Allah mungkin nak anak-anak cepat masuk syurga," ujarnya.
Pada Selasa lalu, ibu Zayn Rayyan menyedari kehilangan anaknya itu ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga sebuah apartmen di Damansara Damai, Selangor. Mangsa bagaimanapun ditemui terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|