Penyanyi Ibnor Riza memohon maaf kepada mana-mana individu sekiranya dia pernah melakukan sebarang kesilapan sepanjang pembabitannya dalam industri seni sejak 37 tahun lalu. Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim, 62, juga meminta mereka tampil menghubunginya di media sosial sekiranya dia pernah berhutang dan melunaskannya.
"Saya juga ingin memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia daripada bermulanya kerjaya saya sejak 1986 sehingga kini. "Mungkin sewaktu saya berada di puncak populariti dahulu, saya alpa, lupa diri... Jika ada yang mengusik hati kalian saya minta maaf. "Kalau saya ada berhutang, anda boleh mesej saya di media sosial atau mungkin ada hutang yang saya lupa boleh terus ingatkan saya... Insya-Allah saya mahu melunaskan hutang tersebut," katanya kepada mStar. Sebelum ini, doktor meramalkan penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu hanya mempunyai masa selama enam bulan untuk hidup akibat penyakit kanser limfoma dihidapinya.
Jelas Ibnor, pada mulanya dia berasa patah semangat sejurus menerima khabar itu, namun bangkit semula apabila mengingatkan tentang kekuasaan Allah SWT. Baginya, kematian bukan ditentukan oleh manusia dan tidak mahu terus mengalah atau berputus asa untuk melawan penyakitnya itu. "Pertama sekali sewaktu mendengar apa yang doktor beritahu, saya rasa sedikit down juga. Kita sebagai manusia yang lemah pasti ada perasaan itu. "Tetapi apabila ingat semula Allah Maha Kuasa dan itu hanya menurut kata doktor. Mereka hanya boleh maklumkan mengikut apa yang mereka belajar tapi kita kena fikir Allah yang meliputi seluruh alam. "Kematian adalah rahsia Allah, jadi apabila difikirkan semula sebenarnya semua ini ditentukan oleh Allah... Jadi saya lebih bersemangat untuk berusaha untuk sembuh daripada penyakit ini," ujarnya. Sementara itu, Ibnor juga memberitahu dia sedang melalui fasa untuk memperbetulkan diri serta menyiapkan persediaan mental dan fizikal untuk menerima segala takdir yang ditetapkan. "Saya tidak pernah berfikir lagi dengan jangka hayat yang diberikan doktor, saya menerima apa sahaja yang ditentukan. "Apa-apa pun saya kena berada dalam keadaan bersedia daripada mental dan fizikal, mana yang salah (dosa) saya mahu tinggalkan," katanya. Pada 19 Februari lalu, Ibnor tiba-tiba diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk. Dia mendapat tahu tentang kanser itu selepas melakukan pemeriksaan doktor susulan mengalami bengkka pada lehernya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT