Selayang: Seorang wanita yang dikenali sebagai Amoi mendakwa melihat kelibat makhluk dipercayai pocong ketika bertugas syif malam tiga hari lalu. Berkongsi perkara tersebut di TikTok, Amoi yang juga pengurus sebuah stesen minyak berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika dia bertugas di kaunter.
"Waktu itu, hanya dua orang saja bertugas iaitu saya dan seorang lagi pekerja. "Ketika kejadian, tiada pelanggan jadi sambil kerja, saya bersiaran langsung di TikTok sambil berinteraksi dengan pengikut. "Mata saya kemudian terpandang sesuatu yang bercahaya di atas bumbung restoran dekat seberang jalan jadi cuba 'zoom' bagi melihat lebih dekat dan terkejut apabila nampak susuk tubuh 'gula-gula' (pocong)," katanya ketika dihubungi Harian Metro. Menurut Amoi, penampakan itu agak jelas kerana diterangi cahaya yang tidak tahu datang daripada mana.
"Setahu saya, tiada lampu jalan di situ jadi tak tahu cahaya apa yang menyinari makhluk berkenaan. "Lagipun, makhluk itu seolah-olah berada di atas bumbung restoran. Restoran itu pula sudah ditutup jadi tak logik ada cahaya di situ. "Saya yakin apa yang saya nampak itu adalah 'gula-gula' dan mungkin sebab itu saya demam hari berikutnya," katanya. Menurut Amoi, dia tidak ceritakan perkara itu kepada sesiapa termasuk rakan setugas sehingga keesokannya. "Saya simpan saja cerita itu dan esoknya (kelmarin) baru saya sembang dengan seorang pak cik yang kebetulan kerja sama syif dengan saya. "Menurut pak cik itu, dia sedang membersihkan tandas pada waktu berkenaan dan turut nampak macam ada kelibat. "Cuma, pak cik itu tak pasti adakah kelibat itu 'gula-gula' seperti yang saya nampak," katanya. Berhubung perkongsiannya di TikTok, Amoi berkata, niatnya bukan untuk menakutkan sesiapa tetapi sekadar berkongsi pengalaman seram dilaluinya. "Saya tak pernah alami pengalaman macam itu jadi saja kongsi video dirakam di TikTok. "Ramai percaya mungkin kerana nampak jelas malah tak lama selepas saya muat naik video itu, ada rakan duduk di lokasi berhampiran katakan kawasan berkenaan memang keras kerana dekat dengan hutan simpan di belakangnya," katanya. Sumber: Harian Metro |