Penyanyi, To'ki masih mencari sebuah rumah yang boleh memenuhi keperluan keluarga termasuklah ibu mentua yang tinggal bersama. Katanya, dia masih belum menemui rumah sewa yang sesuai.
"Saya ada jumpa satu rumah di kawasan Gombak, tapi ia hanya dua bilik. Tak sesuai untuk saya dan keluarga. "Selain bilik tidur sendiri, ibu mentua juga tinggal bersama. Selain itu, saya perlukan satu bilik untuk buat rakaman lagu. Buku-buku saya pun banyak, kenalah ada ruang yang cukup. "Jadi sekarang ini saya masih lagi mencari rumah sewa baru," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis. Dalam pada itu, To'ki memberitahu dia juga sudah menyelesaikan tunggakan bayaran sewa rumahnya kini yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Malah, penyanyi ini nekad untuk berpindah kerana enggan timbul lagi sebarang masalah berbangkit dengan pemilik rumah berkenaan.
"Saya dah selesaikan semua hutang. Walau pun dah bayar semua tunggakan saya tetap akan berpindah keluar. "Kenapa perlu tinggal di rumah ini lagi kalau ada masalah dengan pemiliknya. Lebih baik saya cari tempat baru," ujarnya. Sebelum ini nama To'ki menjadi bualan hangat selepas pemilik rumah sewa berkenaan mendakwa dia gagal menjelaskan bayaran sewa berjumlah RM3,600 selain tunggakan bil elektrik berjumlah RM6,000. Dalam perkembangan lain, To'ki memberitahu dia kini mula aktif di media sosial dan menjadikan platform itu sebagai salah satu sumber kewangan untuk menampung kehidupan harian. "Hari ini (Khamis) pun saya sibuk beli kelengkangan supaya senang nak buat live. Di media sosial ramai yang beri tanda like dan gift. Di situ boleh buat duit, jadi apa salah saya menyanyi di situ. "Saya masih lagi menulis lagu dan memenuhi undangan menyanyi," jelasnya. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT