Kuala Lumpur: "Itu semua harapan palsu. Difahamkan pihak di pintu sempadan Rafah pun tidak menerima apa-apa arahan, " luah warga Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang berada di Gaza, Palestin bersama suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33, apabila pintu sempadan Rafah masih tidak dibuka.
Ia selepas media antarabangsa melaporkan Lintasan Rafah di selatan Gaza-Mesir mula dibuka bagi membenarkan konvoi kemanusiaan memasuki Gaza pada jam 9 pagi waktu tempatan, semalam. Nurul Ain berkata, berita yang diterima itu membuatkan ramai penduduk mula berkumpul di depan pintu sempadan. Menurutnya, keadaan mereka di sana sekarang ibarat berada dalam penjara selepas semua kemudahan awam seperti bekalan elektrik, air dan talian Internet disekat oleh Israel. "Serangan masih tidak berhenti. Malah, mereka dah mula serang dekat kawasan sempadan Rafah.
"Hari ini dah masuk hari kesembilan bekalan air dan elektrik tidak ada. Kami ibarat dipenjara terbesar di dunia. Itu yang saya dapat terangkan dan gambarkan keadaan kami di sini buat masa ini," katanya. Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan kedai menjual barangan makanan mula kehabisan stok. "Sekarang ini, bantuan yang nak dibawa masuk memang tak boleh. Tidak tahu bila akan masuk. Dari segi makanan, kami hanya bergantung pada bekalan sedia ada. Kedai pun banyak kehabisan stok. Saya nak beri bantuan pun bergantung apa yang ada saja. "Saya dah mula hilang kata-kata. Saya dah 'mentally broke'. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan melindungi kami di sini," katanya. Menurutnya, tidak ada satu tempat pun di wilayah itu yang betul-betul dalam keadaan selamat. "Tiada jaminan mana-mana kawasan di sini selamat buat masa sekarang. Setiap masa dalam keadaan risau dan takut, tapi perlu berjaga-jaga. "Tidur pun tak boleh lena. Dron di udara boleh dengar dengan kuat setiap masa terutama pada waktu malam perasaan itu Allah saja yang tahu. Syukur, Alhamdulillah untuk semuanya," katanya. Dalam masa sama, Nurul Ain dan suami yang juga warga Palestin tetap memberanikan diri keluar rumah bagi menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa dan penduduk yang terjejas. "Ini adalah amanah, tapi kami tunggu jika tidak ada serangan baru keluar. Bantuan yang diedarkan ini diambil dari kedai pemborong makanan yang buat sumbangan. Ini sajalah yang tinggal sebab ada satu lagi kedai sudah musnah dibom," katanya. Nurul Ain dan suami kini berlindung di rumah mentua, Khan Younis selepas tiba di negara itu pada 1 Oktober lalu. Menurutnya yang berasal dari Keramat, itu kali pertama dia pulang ke kampung halaman suami di Gaza selepas enam tahun berkahwin. -CARI Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT