REMBAU – Kemalangan membabitkan dua buah lori di kilometer 226.8, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan), menyebabkan trafik sesak lebih tiga kilometer. Difahamkan, susulan kejadian tersebut, muatan buah dokong lori tiga tan jenis Isuzu melambak di atas lebuhraya dan menyebabkan trafik sesak kira-kira tiga kilometer.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, kemalangan kira-kira pukul 6.40 pagi itu membabitkan lori tiga tan jenis Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dan lori kontena dipandu lelaki berusia 40 tahun. “Siasatan awal mendapati lori muatan buah dukung dari arah Lebuhraya Senawang menghala ke Air Keroh dengan memandu di lorong tengah, sampai di tempat kejadian, tiba-tiba tayar hadapan sebelah kiri telah pecah dan telah hilang kawalan lalu melanggar sisi kanan lori kontena yang sedang berhenti kerana mengalami kerosakan enjin di lorong kecemasan.
“Selepas itu, lori muatan buah dukung itu terlanggar pula penghadang besi tengah lebuhraya dan terhenti di lorong sebelah kanan lebuhraya. Dalam kemalangan ini pemandu mengalami kecederaan ringan di dahi dan telah mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Alor Gajah,” katanya, di sini, hari ini. Ujar Hazri lagi, kes berkenaan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT