Kuala Lumpur: Enam lelaki termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan berhubung dakwaan menculik penganggur dari kedai makan di Desa Petaling, di sini Selasa lalu. Mereka berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan kelmarin dengan lima daripadanya adalah anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 26 tahun pada 5.48 petang hari kejadian. "Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras membuat tangkapan ke atas enam lelaki tempatan. "Lima daripada enam suspek yang ditahan merupakan anggota dan pegawai PDRM, kesemuanya ditahan di IPD Cheras," katanya dalam kenyataan hari ini. Terdahulu tular di media sosial berhubung beberapa anggota dan pegawai polis yang bertugas di sebuah balai polis sekitar ibu negara didakwa terbabit dengan sindiket judi haram.
Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihan dakwaan yang dikongsikan menerusi Telegram berkenaan. Mengulas lanjut Zam Halim berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes itu. "Siasatan terperinci sedang diteruskan dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut. "Siasatan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 365/ 342/ 323 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek direman sehari dan dibebaskan dengan jaminan polis," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT