Sarikei: Terpedaya dengan tawaran kerja di luar negara dengan gaji lumayan, seorang lelaki berusia 29 tahun dari sini bersama beberapa lagi rakyat Malaysia lain dipaksa menjadi scammer di Myanmar.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sarikei menerima laporan polis daripada wanita warga tempatan berumur 34 tahun, kakak kandung kepada mangsa jam 12.43 tengah hari semalam. Menurutnya, wanita itu menyatakan adiknya kini berada di Myanmar bersama beberapa orang rakyat Malaysia yang ditipu dengan tawaran kerja dan didera oleh majikan mereka. "Siasatan awal mendapati, mangsa tertarik dengan tawaran pekerjaan dengan bayaran gaji yang lumayan melalui media sosial Facebook. "Mangsa diperdaya dan dibawa ke Myanmar oleh ejen dengan menawarkan gaji RM3,000 sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, katanya, ejen terbabit tidak memberitahu mangsa pekerjaan apa yang akan dilakukan. "Mangsa dipaksa bekerja sebagai scammer dan sekiranya gagal mencapai sasaran yang dikehendaki mereka akan didenda atau didera serta dipaksa untuk makan makanan yang tidak halal. "Selain itu, mangsa memberitahu kepada kakaknya bahawa kad pengenalan dan pasport diambil oleh majikan supaya mangsa tidak dapat melarikan diri," katanya. Beliau berkata, kakaknya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan adiknya dan memohon bantuan pihak berkenaan membawa pulang mangsa ke Malaysia. "Tindakan diambil oleh polis dalam usaha membawa pulang mangsa menerusi Interpol Bukit Aman dan Kedutaan Malaysia. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT