Berdasarkan pemerhatian Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, corak perbelanjaan makan di luar rumah semakin menunjukkan peningkatan. Antara faktornya adalah dasar pekerjaan, yang memiliki masa terhad. Tidak hanya pekerjaan, faktor urbanisasi, perubahan gaya hidup juga antara mendorong kepada peningkatan budaya makan di luar ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli turut mengakui bahawa rakyat Malaysia semakin 'ketagih' untuk makan di luar dan membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan semata-mata untuk memuaskan keinginan tersebut. Rafizi berkata, berbanding ekonomi negara lain seperti Korea Selatan, isi rumah Malaysia membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membungkus dan makan di luar hingga menyebabkan penyusutan pendapatan boleh belanja mereka. Ini menjadikan rakyat Malaysia lebih sensitif terhadap inflasi yang mendadak pada harga makanan yang dimasak, walaupun ketika inflasi utama menurun.
Selain pembangunan negara yang semakin pesat, berikut Majoriti senaraikan tiga sebab mengapa rakyat Malaysia 'ketagih' makan di luar : 1) Dasar pengangkutan awam kurang efisien Rafizi menyifatkan dasar pengangkutan awam yang lemah antara faktor menyebabkan kebanyakan isi rumah terpaksa membungkus makanan. Budaya membungkus makanan juga berkait rapat dengan masa yang diambil oleh orang ramai untuk menempoh perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja. Ia termasuklah berapa banyak masa yang ada apabila mereka pulang dari kerja untuk menyediakan makanan. Pengangkutan awam di negara ini masih memerlukan penambahbaikan agar lebih efisien sekali gus membantu mengurangkan tempoh perjalanan yang diambil pengguna untuk ke satu-satu tempat. Berdasarkan kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan UCSI, antara cabaran yang dihadapi oleh pengguna pengangkutan awam termasuklah tidak tepat masa dan sambungan perbatuan terakhir yang lemah. Isu sebegini mungkin kelihatan remeh berbanding dengan matlamat ekonomi yang tinggi. Bagaimanapun, Rafizi berkata, melihat kepada perbelanjaan isi rumah melalui lensa ekonomi tingkah laku membantu kerajaan menggubal dasar untuk memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat. 2) Kos bahan mentah dan makan luar lebih kurang sama Kos bahan mentah adalah lebih mahal berbanding kos makanan yang ditapau. Kenyataan yang dikeluarkan Rafizi seolah-olah ingin mengatakan amalan rakyat Malaysia yang cenderung membeli makanan di luar menjadi antara punca kesusahan hidup yang dialami mereka. Sedangkan sebenarnya, jika dibandingkan, kos yang perlu dikeluarkan untuk kedua-duanya adalah lebih kurang sama. Malah, ada kalanya kos bahan mentah adalah lebih mahal berbanding kos makanan yang ditapau. Menurut Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal, secara logiknya, yang naik bukan setakat harga makan luar, sebenarnya kos bahan mentah untuk masak makanan yang menunjukkan peningkatan. Malah katanya, jika dilihat, kedai-kedai makan luar umumnya terpaksa menanggung kenaikan kos dan tidak menaikkan harga walaupun kos bahan mentah naik mencanak. Selain peningkatan kos, faktor masa dan tenaga untuk menyiapkan makanan juga perlu diambil kira. Ketika ini juga, barang keperluan menunjukkan peningkatan ketara antara 41 hingga 60 peratus bagi beras dan gula, selain bahan mentah lain. 3) Struktur gaji dan ekonomi Malaysia Secara purata, isi rumah tempatan membelanjakan kira-kira satu pertiga daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan yang dimasak atau dibawa pulang. Manakala lebih separuh daripada makanan yang dipesan pada aplikasi penghantaran berharga RM30 atau kurang bagi setiap pesanan. Meskipun perlu berbelanja lebih untuk membayar kos penghantaran, orang Malaysia masih sanggup dan mampu mengeluarkan sejumlah wang tersebut. Ini kata segelintir pihak bahawa ekonomi sebahagian besar rakyat negara ini boleh dianggap berada dalam keadaan yang stabil. Tetapi ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana ada rakyat yang tidak mempunyai pilihan selain memesan makanan kerana dua faktor di atas terutamanya kesan kesuntukan masa. Bagi mereka yang bekerja di bandar, pembelian makanan di atas talian dapat menjimatkan banyak masa mereka berbanding menghabiskan masa menjamu di kedai makan. —CARI Sumber: Majoriti
|
ADVERTISEMENT