Seoul: Seorang ibu di Korea Selatan, dipenjara enam bulan atas kesalahan mengintai (stalking) anak perempuannya. Independent UK melaporkan, tertuduh yang berusia 50-an itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara Disember 2021 dan Mei 2022.
Menurut mahkamah daerah di Daejeon, tertuduh menghantar 306 mesej teks dan menghubungi anak perempuannya itu sebanyak 111 kali. Pada awalnya, mesej itu mengandungi permintaan biasa, seperti mencadangkan anak perempuannya membaca Injil atau bertanya soal kediaman, lapor akhbar The Korean Herald. Bagaimanapun, anak perempuan itu enggan membalas mesej berkenaan. Mesej daripada ibunya kemudian bertukar menjadi berunsurkan 'penderaan', termasuk dikatakan menghina mengenai tingkah laku seksual anak perempuan itu. Tidak pasti mengapa anak perempuan itu enggan membalas mesej ibunya.
Media tempatan bagaimanapun tidak menyiarkan nama si ibu dan anak perempuannya itu. Mahkamah diberitahu tertuduh juga terbabit dalam menghendap mangsa secara fizikal. Dia dilaporkan membuat lapan lawatan tanpa kebenaran ke kediaman anak perempuannya dalam tempoh tertentu. Ada kalanya, tertuduh secara sembunyi menghendap ke dalam rumah anak perempuannya, lapor dokumen mahkamah daerah Daejeon. Meskipun polis sudah mengeluarkan perintah injunksi terhadap si ibu pada Jun lalu, tertuduh tetap ingkar arahan itu dan menceroboh rumah anaknya, sebanyak enam kali. Walaupun tertuduh berkata bahawa tindakannya tidak disengajakan dan tidak dirancang, mahkamah menolak pembelaannya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT