Ismail Izzani bertukar ke syarikat pengurusan baharu, Def Jam Asia untuk mencuba haluan baharu. Menurut Ismail, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk membuat keputusan besar tersebut.
“Kontrak saya bersama syarikat pengurusan lama sudah tamat. Sepatutnya akan bersambung tapi saya mengambil masa untuk mendalami apa yang saya tak tahu. “Jadi, saya putuskan untuk keluar daripada label dan cuba untuk menjernihkan segala hal. Saya mahu permulaan baharu terutama untuk diri sendiri,” katanya kepada MH. Dia juga mahu memberikan lebih tumpuan terhadap bidang muzik berbanding tawaran lakonan yang banyak diterimanya sewaktu bersama syarikat pegurusan lama.
“Selama dua tahun saya tiada produk dan tidak melancarkan sebarang lagu. Saya tiba-tiba jadi pelakon. “Ia agak sedih kerana saya mulakan kerjaya menerusi muzik dan saya tak mahu orang ingat saya sebagai pelakon. Ia bukan kekuatan saya. “Dalam bidang lakonan ini, kalau sekadar mencuba saya okay lagi tapi kalau itulah sasaran mereka (pihak pengurusan lama), saya minta maaf. Kita tidak berada di direction yang sama. “Hubungan kami masih baik dan saya keluar juga dengan cara baik."
Bagaimanapun, Ismail mendedahkan dirinya akan lebih selektif sekiranya mendapat tawaran dalam bidang lakonan selepas ini. “Ia bergantung kepada masa. Tahun lepas, saya terima banyak tawaran berlakon. Saya bukan menolak tapi ada kalanya saya merasakan ia seperti bukan tempat untuk saya. “Sebagai ahli muzik, kalau harus bekerja selama tiga bulan untuk penggambaran drama, saya tiada masa nak buat lagu. Jadi, saya kena memilih. “Saya tak menyesal terjun ke bidang lakonan dan saya seronok menjadi pelakon tapi ia tiada dalam diri saya,” kongsinya lagi.
Ditanya ada dia terkesan dengan kritikan netizen terhadap kualiti lakonannya sebelum ini, Ismail merasakan orang luar berhak untuk bercakap apa sahaja mengenai dirinya. “Saya okay sahaja. Kalau fikirkan sangat fasal trauma ini, semua benda saya akan trauma. Nak keluar atau berjumpa dengan media pun saya akan trauma. Minat lakonan itu tiada dalam diri saya. Nak bagi 100 peratus itu saya tak tahu macam mana.
“Orang meletakkan harapan yang tinggi bila saya berlakon. Pada saya, nak puaskan hati semua orang itu bukan kerja saya. “Bila ada yang menilai saya, biarlah. Memang itu kerja mereka. Itu sahaja yang mereka bagus. Kalau orang nak kata saya tak bagus berlakon, saya terima dan saya akan perbaiki,” akhirinya. -CARI Sumber: Media Hiburan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|