Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, antara yang dicadangkan untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) selepas tersenarai dalam kalangan lapan ahli baharu, semalam.
Cadangan keahlian Yeoh yang memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 menerusi filem Everything Everywhere All at Once itu akan dipertimbangkan pada mesyuarat bulan depan di Mumbai, India. Presiden IOC, Thomas Bach berkata, kesemua calon akan membawa nilai tambah terhadap IOC kerana pengalaman dan kepakaran yang dimiliki dalam bidang masing-masing. "Persamaan mereka adalah kecintaan kepada sukan dan kepercayaan kuat terhadap nilai Olimpik dan maksud IOC. "Visi IOC untuk membina dunia yang lebih baik melalui sukan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan. Selain Yeoh, tujuh lagi nama yang dicadangkan adalah pemenang pingat Olimpik pertama Israel, Yael Arad; ahli perniagaan dan Pentadbir Sukan Hungary, Balasz Furjes; pemenang pingat Olimpik dan ahli politik dari Peru, Cecilia Roxana Tait Villacorta dan usahawan sukan Jerman, Michael Mronz.
Turut dicadangkan, Ketua Persekutuan Pingpong Antarabangsa dari Sweden, Petra Soerling; Presiden Kesatuan Meluncur Antarabangsa dari Korea Selatan, Kim Jae-youl termasuk Presiden Jawatankuasa Olimpik Tunisia, Mehrez Boussayene. IOC kini mempunyai 99 ahli jemputan, termasuk keluarga diraja, bekas atlet serta pemimpin politik dan industri. Peranan utama ialah mengesahkan tuan rumah untuk Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk, daripada senarai negara yang dipilih terlebih dahulu oleh pentadbiran dan lembaga eksekutif IOC. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT