Rapper Jambang atau RJ disangka sudah tidak lagi aktif dalam bidang seni . Katanya tempoh empat tahun sejak 2017, dianggap fasa ujian dalam hidup selain cara Tuhan memberi teguran hingga memaksa dia menarik 'handbreak' atau berubah.
"Terlalu banyak yang saya lalui sepanjang fasa 'hilang'. Sebenarnya, ketika itu, saya masih mencari rezeki dalam bidang lakonan. Tetapi, saya menyahaktif akaun media sosial hingga ramai teman tertanya-tertanya kehilangan saya. "Saya juga diuji dengan kisah perhubungan yang tidak menjadi. Mungkin kerana bercinta pada usia lewat, insiden itu memberi kesan kepada saya. "Saya ibarat tersalah isyarat, selama setahun, saya fikirkan wanita itu serius. Rupanya dia hanya anggap saya sebagai kawan. Saya tiada tempat mengadu, ibu sudah lama meninggal dunia. "Bapa pula sudah berkahwin lain dan menetap di Kedah. Saya anak tunggal, jadi, segala kesedihan ditanggung sendiri hingga ada teman sangka saya hadapi masalah kesihatan mental," katanya kepada Berita Harian.
RJ berkata, fasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggap paling getir kerana berdepan masalah kewangan hingga menyukarkan dirinya keluar bekerja. "Sepanjang PKP saya tak dapat tawaran berlakon dan bergantung hidup kepada pendapatan diraih melalui sesi 'live' di sebuah aplikasi. "Akibatnya, kereta saya ditarik. Saya beruntung kerana ibu bapa tinggalkan kediaman untuk saya. Saya terpaksa bekerja sebagai penghantar barang. Ketika saya hantar pesanan, tidak sangka, ada orang masih kenal saya," katanya. RJ yang kini mahu dikenali sebagai RJ Helmy bersyukur selepas beberapa tahun menempuh tempoh sukar, dia ditawarkan berlakon kebanyakannya membabitkan syarikat produksi, Global Station Sdn Bhd. RJ bersyukur dirinya umpama mendapat peluang kedua daripada Tuhan bagi meneruskan perjalanan hidup. "Sekarang saya mampu memiliki semula kereta dan kedudukan kewangan kembali stabil. Alhamdulillah, tawaran lakonan sentiasa ada, cuma mungkin saya tidak muncul dalam media, jadi orang tidak tahu kewujudan saya," katanya yang tidak menjadikan soal berpacaran sebagai keutamaan hidup sekarang. Menyentuh mengenai kerjaya nyanyian, RJ berkata, selepas single Teman Pengganti, dia merakamkan 11 lagu termasuk dendangan duet bersama Mark Adam berjudul Dunia Fantasi. Bagaimanapun, single itu tidak sempat dipromosikan. -CARI Suber: Berita Harian
|
ADVERTISEMENT