PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, larangan terhadap isu agama, raja dan bangsa (3R) adalah terlalu umum dan tidak dijelaskan kenapa dan bagaimana ia boleh mengancam keselamatan negara.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak berhak membuat sebarang larangan melainkan ia berkaitan dengan keselamatan negara. “Apakah kalau saya kata ‘saya orang Melayu’ maka ia mengancam keselamatan negara. Jika saya kata ‘orang Melayu menghadapi masalah’ maka saya dianggap sebagai pemberontak yang polis perlu soal saya. “Saya kata saya beragama Islam, maka ini juga melanggar arahan Perdana Menteri. Kalau saya salah maka Perlembagaan juga salah kerana Perlembagaan menyebut ‘Islam’ sebagai agama rasmi Malaysia. “Salahkah kalau saya kata kita punyai ‘Raja Berperlembagaan’?, Soalnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, larangan yang dibuat terlalu umum sehingga rakyat takut dipersalahkan apabila menggunakan perkataan bangsa, agama dan raja bahkan dakwanya, polis turut mengekori penceramah seolah-olah hendak menahan mereka. Tegasnya, semua tindakan kerajaan mempunyai cara dan undang-undang yang perlu diikuti bahkan tiada sesiapa boleh bertindak secara suka hati termasuklah Perdana Menteri sendiri. “Ini tidak sihat. Rakyat berhak bercakap berkenaan masalah mereka. Apa gunanya pilihan raya jika masalah rakyat tidak boleh disuarakan oleh rakyat dan oleh calon yang berjuang untuk rakyat. “Apa hak Perdana Menteri membuat larangan. Negara ditadbir mengikut undang-undang. Tiap suatu yang hendak diperbuat oleh kerajaan ada caranya. Kita punyai Dewan Rakyat dan Dewan Negara. “Ada cara tertentu untuk melulus undang-undang. Perdana Menteri bukan bebas untuk membuat undang-undang. Polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) juga tidak bebas bertindak sesuka hati,” katanya. Beliau juga mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang disifatkan secara tiba-tiba merampas hak rakyat dan hak parti politik untuk bercakap dalam isu membabitkan 3R. “Cuma pemerintahan kuku besi sahaja yang memberi kuasa tanpa had kepada pemerintah. Sudahkah kita sampai ke peringkat itu? “Itu soalannya. Lebih-lebih lagi pelakunya ialah seorang reformis yang kononnya menolak cara pemerintahan kuku besi,” katanya. – CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT