Kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Industri Kilang Berapi, di Jasin kira-kira pukul 6.30 petang semalam menyebabkan seorang remaja maut manakala juruteknik parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung.
Menurut laporan, Muhammad Aniq Asyraf Abu Bakar yang menunggang Modenas Kriss meninggal dunia di lokasi manakala A. Vijaikumar, 24, yang parah di kepala, dirawat di Hospital Melaka. Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan berlaku apabila remaja terbabit dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus. “Mangsa bergerak dari arah Kampung Kilang Berapi menuju ke arah kawasan Industri Kilang Berapi dan setiba di sana dia bergerak secara melawan arus. “Pada masa sama, sampai sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang seorang juruteknik dari arah bertentangan lalu bertembung dengan remaja terbabit,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Tambahnya, kemalangan berlaku di laluan sah pergerakan juruteknik berkenaan. Mengulas lanjut beliau berkata, akibat kemalangan itu, remaja terbabit parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. “Hasil siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati, laluan tersebut bukanlah laluan sibuk. “Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sumber: KOSMO! ONLINE
|
ADVERTISEMENT