BANGKOK – Seorang pengawal keselamatan di Thailand yang dililit seekor ular sawa sepanjang 3 meter di dalam biliknya nekad menggigit reptilia itu bagi melepaskan diri. Thaiger melaporkan kejadian itu berlaku pada pukul 10 malam (waktu tempatan) di sebuah syarikat swasta di Bang Bo, wilayah Samut Prakan, lokasi di mana lelaki itu tinggal dan bekerja.
Setelah mandi dan makan malam, Sarayut Malachan, 68, ingin berehat di dalam biliknya selepas seharian bekerja. Lelaki itu tiba-tiba berasa sakit pada kakinya seperti digigit sesuatu. Apabila membuka mata, dia melihat seekor ular sawa mematuk kakinya dan cuba melilit lehernya. Ketika bergelut dengan reptilia itu, dia cuba meminta bantuan, namun tiada siapa mendengar jeritannya. Disebabkan tidak dapat melawan cengkaman ular itu, Sarayut memutuskan untuk menggigitnya dengan kuat lalu ia cuba melarikan diri.
Sarayut bagaimanapun berjaya memegang kepala ular itu, membawanya menaiki motosikal dan menuju ke balai polis untuk meminta bantuan. Polis kemudian meminta bantuan agensi sukarelawan, Yayasan Ruamkatanyu untuk menangkap ular tersebut, manakala Sarayut dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT