Selebriti Korea Selatan, DJ Soda mendakwa mengalami gangguan seksual ketika muncul membuat persembahan di Music Circus Festival, Osaka, Jepun. Dakwa pemilik nama sebenar Hwang So Hee itu, ketika kejadian beberapa orang lelaki cuba menyentuh payudaranya.
Bagaimanapun, DJ Soda, 35, meluahkan rasa kecewa apabila ada pula menyalahkannya kerana pakaiannya yang seksi menyebabkan berlakunya insiden itu. Tampil mempertahankan diri, DJ Soda berkata, gangguan seksual itu perbuatan yang tidak boleh diterima dan isu pakaian bukan alasan untuk seseorang melakukan perbuatan terkutuk itu. "Tak kira apa pakaian yang saya pakai, gangguan seksual adalah tidak wajar. Saya sudah lama ingin mengatakan perkara ini. "Saya tidak pakai pakaian mendedahkan untuk orang lain menyentuh saya," katanya. Tambahnya lagi, dia memakai pakaian sedemikian hanya untuk membuat dirinya tampil menarik dan yakin dikhalayak ramai dan bukannya menjadi bahan nafsu orang lain.
"Pakaian yang saya kenakan adalah untuk kepuasan diri tetapi orang lain tiada hak untuk menyentuh saya atau membuat gangguan seksual. "Saya tak faham apa difikirkan orang yang mengatakan gangguan seksual itu berlaku sebab pakaian saya? Saya ada hak untuk pakai apa sahaja dan tidak siapa boleh menilai seseorang hanya berdasarkan penampilan mereka. "Badan saya milik saya, bukan orang lain. Saya suka pakaian yang mendedahkan dan akan terus memakainya," ujarnya. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT