Kembar Aishahanim membuktikan bahawa penat lelah mereka membina jenama sendiri selama sedekad dalam Industri seni nyata tidak sia-sia. Mempunyai kelompok peminat yang tersendiri, Aishahanim juga memiliki impian yang sama sebagaimana penyanyi lain dan satu daripadanya adalah dengan menghadiahkan peminat dengan sebuah konsert.
Mini konsert One Night Only With Aishahanim menjadi penanda aras pada kerjaya seni duo ini yang menyaksikan masing-masing pulang dengan perasaan lega setelah melangsaikan ‘hutang’ kepada peminat mereka. “Tentunya kami bersyukur dan teruja kerana akhirnya apa yang kami impikan tercapai jua. Setelah 10 tahun, kami dapat juga buat konsert ini. “Sebenarnya, seleksi lagu pilihan kami pada malam konsert tempoh hari diilhamkan daripada lagu lagu-lagu yang pernah kami bawakan semasa bertanding. “Di era 80 an dan 90-an, kami berdua memang sering menyertai pertandingan nyanyian dan seni sebelum bergelar artis rakaman. Pendek kata, betul, bakat kami ini dicungkil daripada pertandingan-pertandingan nyanyian,”kata Aisha.
Selain itu, tambah Aisha, penganjuran konsert tersebut juga menjadi bukti bahawa kehadiran mereka bukan sekadar mahu memeriahkan dunia seni, tetapi kerana bakat. “Kami dalam industri seni ini sudah lama. Orang kenal lagu-lagu kami tetapi tidak orangnya. Menerusi konsert ini, hasrat kami cuma satu, mahu menghargai mereka yang telah menyokong kami selama ini. “Selain itu, kami juga mahu membuktikan kepada semua yang kami layak untuk bergelar penghibur,”katanya.
Ditanya sama ada selepas ini kedua-duanya merancang untuk bergerak solo, perkara itu disangkal keras oleh Hanim. Menurutnya, sejak kedua-duanya hadir dalam arena seni, gelaran artis duo kembar bukan satu masalah buat mereka. “Aisha dulu pun pernah tampil solo. Tetapi rasanya rezeki kami lebih kepada duo kembar dalam industri seni ini. Jadi,rasanya tak akan bergerak solo. Bagi kamo, duo kembar sudah unik. Kami unik,”katanya kepada Utusan.
Terdahulu, mini konsert One Night Only yang diadakan di Mutiara Ballroom Damansara pada 13 Ogos lalu menyaksikan Aishahanim membuka pentas dengan membawakan lagu-lagu nyanyian semula Anggapanmu/ Robek Hatiku (Hanim), Akhirnya Kini Pasti/ Oh Teruna (Aisha) dan berduet lagu My Way. Hanim sebelum ini pernah menyertai Bintang RTM 2001 dan Aisha pula pernah menjuarai pertandingan realiti, Girl Are Ready NTV7 (2001). Segmen kedua pula menyaksikan duo kembar tersebut menyanyikan lagu-lagu mereka yang banyak dipilih menjadi runut bunyi bagi drama-drama popular antaranya Syurga Nur, Bukan Gadis Biasa, Nikah Cerai Rujuk, Tabir Zulaikha dan banyak lagi.
Antara lagu yang dinyanyikan mereka adalah Dua Muka, Angkara, Tinggalan Cinta, Benar Cinta dan Mata Kunci Cinta. Bagi segmen ketiga, Aishahanim memilih untuk menyanyikan lagu-lagu permintaan peminat antaranya I’m Alive, Pantun Janda, Kau Pergi Tanpa Pesan, Ini Rindu, I Will Survive dan I Hate Myself For Loving You. Malah mereka turut menyanyikan lagu berbahasa Cina, Yue Liang Dai Biao Wo De Xin yang dipersembahkan sebagai kejutan kepada tetamu kaum Cina yang hadir. Konsert tersebut dihadiri oleh tetamu terhormat, Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan juga Tan Sri Noh Omar.
One Night Only Aishahanim yang berlangsung selama dua jam itu juga menyaksikan kehadiran rakan-rakan artis, keluarga, rakan media dan peminat yang selama ini memberi sokongan kepada duo kembar tersebut. Malah duo kembar itu turut menyantuni mereka yang kurang bernasib baik apabila menjemput persatuan OKU untuk sama-sama berhibur dalam konsert itu. -CARI Sumber: Utusan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|