Ranau: Lelaki warga emas yang dilapor hilang selepas keluar mencari rotan di hutan Kampung Patau, di sini sejak 21 Julai lalu, ditemukan meninggal dunia, hari ini. Mayat Jurin Sahantoh, 62, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan tidak sempurna dan terapung di kawasan air terjun kira-kira 11 pagi.
Kehilangan mangsa sebelum ini disedari isterinya selepas tidak pulang ke rumah sejak 21 Julai dengan dia kemudian memberitahu penduduk kampung. Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya hanya menerima laporan kehilangan mangsa pada 31 Julai sebelum SAR dilancar 2 Ogos lalu membabitkan pelbagai agensi. "Mangsa ditemui pasukan SAR di kawasan air terjun kira-kira dua kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK)," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau untuk bedah siasat. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT