Pesakit kanser limfoma tahap dua, Norfarahain Abd Manap, 34, menggesa bekas rakan sekerjanya yang dikenali sebagai Wawa, berhenti menyalahgunakan namanya bagi mengutip derma di Singapura.
"Dia kata mahu bantu ringankan beban, namun tidak sangka dia memberi pelbagai alasan ketika saya menuntut wang kutipan itu. "Pada 16 Jun lalu, Wawa datang menjumpai saya di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Dia mahu mengutip derma di tempat kerjanya iaitu kedai makan di Singapura demi meringankan beban saya terutama bagi membiaya sebahagian kos perubatan dan berjanji akan serahkan wang dalam tempoh tertentu. "Saya pada awalnya terharu kerana dia insan pertama mahu mewujudkan tabung kutipan. Dia pernah menghantar video kepada saya menyatakan ada insan yang menderma sehingga SGD50 (lebih RM150).
"Pada 27 Julai lalu dia menghubungi saya dan meminta nombor akaun bank namun selepas itu dia memberi pelbagai alasan termasuk talian telefon bermasalah dan sudah bertukar kerja. Ia menimbulkan perselisihan faham antara saya dan Wawa," katanya. Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, berikutan itu dia membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya pada 4 Ogos lalu. Katanya, selepas menyedari tindakan itu, Wawa bertindak memasukkan wang sejumlah RM1,000 ke akaun banknya semalam. "Namun dia menafikan ia wang tabung sebaliknya mendakwa wang itu adalah milik majikan. "Saya berharap Wawa menghentikan sebarang kegiatan kutipan derma menggunakan nama saya," katanya ketika ditemui hari ini. Terdahulu Norfarahain menerima kunjungan daripada Wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Mohd Nasir Ishak. Mohd Nasir berkata, pihaknya menyumbang sejumlah wang bantuan secara one-off serta mencadangkan pesakit bagi memohon bantuan perubatan daripada MAIJ. Pada 2 Ogos lalu, kisah Norfarahain didedahkan di Harian Metro selepas dia dan suaminya, Muhammad Adam Abdullah, 29, buntu memikirkan kos pembelian ubat bagi penyakit dialaminya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada pengadu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT