London: Sweden mahu mengukuhkan hubungan dengan negara Islam, kata Menteri Luar Sweden, Tobias Billstrom, ketika Stockholm berdepan kritikan atas insiden penghinaan berulang kali terhadap kitab suci Al-Quran di negara itu, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan, semalam, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Billstrom mengadakan perbualan dengan lebih 20 duta negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di ibu negara Sweden pada Jumaat lalu. "Memulihkan kepercayaan dan keyakinan mengambil masa. Saya akan menumpukan sebahagian besar daripada tempoh pilihan raya ini untuk mengukuhkan hubungan dengan negara Islam," kata Billstrom. Beliau berkata, Kerajaan Sweden 'menolak sekeras-kerasnya' pembakaran kitab suci itu, sambil menjelaskan Kementerian Kehakiman sudah memulakan analisis dan sedang mengusahakan terma rujukan siasatan untuk mengkaji semula Akta Ketenteraman Awam.
Awal minggu ini, Menteri Kehakiman, Gunnar Strommer dilaporkan berkata, satu penyelesaian yang berpotensi untuk mencegah kejadian sama daripada berulang, adalah dengan menggunakan kuasa kecemasan bawah Akta Ketenteraman Awam. Menteri Hal Ehwal Sosial Sweden, Jakob Forssmed juga mengadakan pertemuan dengan wakil daripada organisasi berbeza agama di Stockholm pada Jumaat lalu. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT