Ipoh: Polis menafikan anggotanya memukul pesalah trafik dalam operasi membanteras samseng jalanan atau 'mat rempit' di Jalan Jelapang, di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hasaan berkata, pihaknya terkesan dengan penularan video di Twitter melalui akaun pengguna 'Nan Manjoi' memaparkan sebahagian 'adegan' dalam operasi itu.
Katanya, berdasarkan video itu, bapa kepada pesalah trafik yang dikenakan lima saman hadir ke lokasi operasi dan tidak berpuas hati terhadap tindakan penguatkuasaan polis. Menurutnya, dakwaan mengatakan bapa pesalah berusia 23 tahun berang anaknya dipukul polis adalah taktik pihak tidak bertanggungjawab, mensensasikan isu mat rempit yang sering melakukan aktiviti di laluan itu.
"Dakwaan dipukul itu tidak benar. Pesalah trafik berkenaan memaklumkan kepada ibu bapanya selepas diambil tindakan oleh pihak polis dan bapa pesalah itu datang ke tempat kejadian. "Anaknya memangmelakukan pelbagai kesalahan termasuk dengan sengaja membuat bunyi bising apabila mengubah suai ekzos motosikal, selain tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi dan aksesori tidak sempurna pada motosikal. "Bagaimanapun, bapa pesalah trafik itu kemudiannya meminta maaf kepada pihak polis dan beliau sudah diberi nasihat serta amaran tanpa ditangkap," katanya dalam kenyataan. Operasi pada 3 hingga 6 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh, bagi membanteras aktiviti lumba haram. Terdahulu, katanya, 27 motosikal dan 32 individu diperiksa sepanjang operasi serta seorang lelaki Thailand berumur 19 tahun ditahan kerana menunggang melulu. Beliau berkata, 30 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dan sebuah motosikal disita. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT