Washington: Meskipun berusia 87 tahun, seorang nenek di Brunswick, Maine, Amerika Syarikat (AS) tidak gentar membela diri dengan melawan perompak yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya. Buktinya, Marjorie Perkins juga pesara guru berani mengusir perompak keluar daripada rumah yang didiaminya sejak 35 tahun lalu.
Tribunnews melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi pada 26 Julai lalu. Perkins sedang nyenyak tidur ketika perompak berumur 17 tahun itu kemudian menceroboh masuk ke bilik wanita berkenaan. Perkins bagaimanapun tersedar dan bertindak pantas mengusir perompak berkenaan walaupun dirinya sebenarnya dalam keadaan ketakutan. "Bayangkan saya bangun dalam kegelapan dan melihat lelaki itu berdiri di depan. "Saya hendak menendangnya. Jadi, saya pakai kasut secepat mungkin," katanya kepada portal BBC. Perkins kemudian mengambil kerusi yang berada di dekat tempat tidurnya untuk membela diri ketika perompak berkenaan datang ke arahnya.
Wanita berkenaan turut menumbuk pipi dan dahi perompak berkenaan dan terus menolaknya ke dinding. "Saya menjerit ke luar tingkap untuk memohon bantuan," kata Perkins. Kedua-duanya berebut kerusi hingga perompak itu kepenatan. "Saya terus menyuruhnya keluar," kata Perkins. Sebelum beredar, perompak itu memberitahu Perkins yang dia lapar. Tidak sampai hati, Perkins memberinya sekotak biskut, kacang dan madu, dua minuman dan dua jus asam. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT