London: Seorang wanita di United Kingdom (UK) dijatuhi hukuman penjara selepas melakukan serangan terhadap individu yang didakwa menjadi orang ketiga dalam hubungan percintaan anak perempuannya.
Mirror UK melaporkan, Suzanne David, 51, bersama dua anak perempuannya, Tiffany Baker, 26, dan Shannon Baker, 20, menyerang mangsa, Melanie Park di luar salon menggelapkan kulit di luar gedung Tropical Heat di kawasan Rock Ferry di Birkenhead pada 3 Mac 2022. Di Mahkamah Crown Liverpool pada Jumaat, pendakwa raya Matthew Kerruish-Jones berkata mangsa dikenali oleh ketiga-tiga wanita itu sebagai teman wanita kepada bekas kekasih Tiffany dan berlaku ketegangan antara mereka. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap Suzanne, dan Tiffany dan Shannon masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 bulan. Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua wanita itu (Tiffany dan Melanie) terjumpa di luar salun dan menyebabkan Tiffany memanggil ibunya dan memintanya datang ke tapak tersebut.
Apabila Melanie meninggalkan premis, dia mendapati Suzanne dan dua anak perempuannya menunggunya di jalan di luar. Tular rakaman video yang memaparkan mangsa dan Suzanne berdiri, menarik rambut satu sama lain sebelum Suzanne dan Tiffany menarik mangsa ke lantai "Tiffany menumbuk muka mangsa sekurang-kurangnya empat kali, menarik rambutnya dan mengheretnya ke jalan raya. "Shannon kemudian menendang mangsa sebanyak dua kali ke kepala. Tiffany memegang lengannya dan menumbuknya ke kepala," kata Kerruish Jones ketika memberi gambaran mengenai insiden berkenaan. Berikutan insiden itu, Melanie dibawa ke unit kecemasan dan dirawat kerana dua matanya bengkak dan lebam yang ketara di sebelah kiri mukanya. Dalam satu kenyataan, wanita itu berkata apa yang berlaku menyebabkan dia hilang pekerjaan, mengalami masalah kewangan, kebimbangan dan kemurungan serta takut untuk keluar rumah Sementara itu Suzanne, Tiffany dan Shannon mengaku bersalah atas perbuatan mereka kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT