Johor Bahru: Seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram, di sini, mengalami simptom pening dan muntah berikutan pencemaran sisa kimia, dipercayai dibuang di sungai berhampiran, petang semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Kvp Mohamed, berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya serta jentera Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Larkin dengan kekuatan keseluruhan 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Katanya, ia susulan panggilan kecemasan pencemaran bau kimia yang diterima dari sekolah berkenaan. Beliau berkata, kesemua pelajar dan guru diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera dengan anggota bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.
"Pada jam 8 malam semalam, pasukan HAZMAT membuat kerja pengesanan di dua lokasi berbeza menggunakan gasmet membabitkan tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di Ladang Orkid, namun hasil bacaan yang diterima di kedua-lokasi adalah normal. "Proses pengesanan diteruskan tengah hari tadi dengan pasukan HAZMAT membuat pengesanan dengan menggunakan lebih banyak peralatan termasuk sigis 2 (long range detector), gasmet, rad dan 4gas meter di beberapa sektor yang ditetapkan. "Selepas membuat penilaian di lokasi sektor lima iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan'. "Pasukan HAZMAT dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tanki 'ibc' yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran," katanya dalam kenyataan, hari ini. Mohd Salleh berkata, hasil dari penemuan itu operasi seterusnya diserahkan kepada JAS Johor untuk tindakan berkaitan. "Kita juga berterima kasih kepasa Kementerian Kesihatan (KKM) yang membantu membuat 'plotting' bagi penduduk yang mempunyai simptom, bagi menentukan keluasan sektor yang dibuat pengesanan," katanya. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT