Tular rakaman kanak-kanak dicampak dari tingkat enam sebuah bangunan pangsapuri yang terbakar di Almaty, Kazakhstan, semalam. Daily Star melaporkan, kanak-kanak itu dipegang di luar tingkat enam ketika sekumpulan lelaki bersiap sedia memegang tilam di bawah bangunan untuk menyambut mangsa.
Ketika itu, asap hitam dilihat berkepul-kepul keluar dari tingkap bangunan tersebut. Selepas berjaya menyambut kanak-kanak itu, kumpulan lelaki itu kemudian bersiap sedia menyambut seorang wanita yang cuba melompat untuk menyelamatkan diri. Jurucakap Jabatan Kecemasan Almaty (DES) berkata, sebaik tiba, tingkat lima sebuah apartmen 16 tingkat didapati terbakar. Laporan mendapati kabel elektrik terbakar di tingkat lima dan enam. Seramai 50 anggota penyelamat dan 14 jentera bomba dikerahkan untuk memindahkan seramai 200 hingga 300 orang dari bangunan itu.
Jabatan Kesihatan Almaty melaporkan, setakat pukul 6.30 petang (waktu tempatan), kira-kira 31 orang dibawa ke hospital bandar itu dengan 16 daripadanya kanak-kanak. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT