Tiga hari selepas terperangkap di dalam lif, penghantar surat wanita Uzbekistan ditemui maut. Olga Leontyeva, 32, pada mulanya dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah dari bekerja pada 24 Julai lalu.
Menurut sumber, ibu satu anak itu dikatakan menjerit meminta tolong ketika terperangkap di dalam lif di sebuah bangunan di Tashkent itu, namun tiada sesiapa mendengar jeritannya dan sistem penggera tidak berfungsi. Rakaman video keselamatan yang tular menunjukkan, Olga melangkah masuk ke dalam lif di tingkat bawah bangunan sembilan tingkat itu sebelum insiden berkenaan. Keluarganya memaklumkan pihak berkuasa mengenai kehilangannya pada 26 Julai sebelum mayatnya ditemukan pada keesokan harinya.
Pejabat pendakwa raya mengesahkan, siasatan kes itu sedang dijalankan. Olga meninggalkan anak perempuannya yang berusia enam tahun yang kini dijaga oleh ahli keluarganya. Semakan awal mendapati lif buatan China itu berfungsi, namun ia tidak didaftarkan. Jurucakap Rangkaian Elektrik Serantau, Fakhriddin Nuraliyev, mengesahkan bekalan elektrik tidak terputus pada hari kejadian. "Punca kejadian adalah lif yang tidak berfungsi. Ini juga disahkan penduduk rumah itu," katanya. Minggu lalu, seorang wanita di Palermo, Sicily, Itali, dikenali sebagai Francesca Marchione ditemukan maut selepas terperangkap di dalam lif. Ia selepas bekalan elektrik di sebuah bangunan kediaman, terputus pada 26 Julai lalu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT