Liza Hanim terkilan dituduh dia akan ‘menenggelamkan’ mana-mana rakan duet dalam setiap persembahan. Katanya, ideologi sebegitu dipercayai disebarkan oleh pakatan yang cuba menjatuhkan imejnya sebagai seorang penyanyi malah menyifatkan penggunaan ‘makan’ penyanyi duet dianggap melampau.
“Sebenarnya saya tidak tahu kenapa orang bercakap saya akan tenggelamkan penyanyi duet. “Sampaikan ada pakatan yang cuba mencipta imej atau ideologi sebegitu mengenai saya. “Perkataan ‘makan’ itu agak berlebih-lebihan sebenarnya,” katanya kepada Kosmo!
Tambahnya setiap persembahan sudah dirancang terlebih dahulu dan berbincang dengan rakan duet untuk memastikan semuanya berjalan lancar. “Tugas saya hanya menyanyi sahaja dan naik pentas cuma lontarkan semua energi dan kemampuan yang ada.
“Namun semuanya mengikut apa yang sudah dirancang. Kalau betul saya ‘makan’ rakan duet, pasti tiada sesiapa yang akan menjemput saya menyanyi lagi. “Kemudian, setiap persembahan adalah dirancang dan jarang berlaku perkara yang muncul secara spontan,” katanya lagi. Tambah pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu, dia berharap pihak-pihak tertentu berhenti menyebarkan perkara tidak benar yang kadangkala menggores hatinya.
“Pesanan kepada mereka yang sebarkan ideologi sebegitu, sudah-sudahlah ya. Tidak perlulah lakukan hal sebegitu. “Kadang-kadang saya terbaca yang sengaja menulis perkara tersebut di mana-mana platform media sosial kemudian ramai pula yang mempersetujuinya.
“Memang cuba elak tetapi serba sedikit memang akan terasa juga,” ujarnya. Difahamkan, dakwaan tersebut timbul setiap kali dia akan mengadakan persembahan duet dengan mana-mana penyanyi dalam setiap acara atau pertandingan nyanyian sebelum ini. – CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|