Pasangan suami isteri hadapi dugaan besar apabila anak kembar mereka berusia lima tahun didiagnos menghidap penyakit leukemia jenis pre B-ALL (acute lymphoblastic leukemia). Menurut Mohamed Faris Idris, 36, segalanya bermula pada Disember 2022 apabila si adik, Nurzulaikha Damia kerap mengalami demam.
Keadaan bertambah buruk apabila darah merahnya sering berkurang selain mengalami kesakitan sendi di seluruh tubuh. “Masa tu, dia asyik nak baring je sebab sakit kaki kalau berjalan. Jadi kami pun bawa pergi jumpa doktor. “Doktor cakap mungkin kena denggi sebab dalam darah ada virus. Tapi bila masukkan ubat antibiotik tak berkesan. Kandungan darah putih pun tinggi. “Lepas doktor ambil sampel darah dihantar ke makmal, rupa-rupanya ada sel kanser. Jadi doktor pun ambil air tulang belakang pada 14 Disember 2022 untuk sahkan anak menghidap kanser di Hospital Kluang,” ujarnya ketika dihubungi mStar.
Walaupun pada mulanya berat hati menerima takdir Allah namun Faris reda dengan ketentuanNya, malah dia dan isteri cekal berulang alik ke Hospital Sultan Ibrahim, Johor. Menerusi video dikongsikan baru-baru ini di TikTok, ramai memujinya dan isteri, Nornazila Mdkamal, 33, yang tabah menjaga anak yang sakit. Bagaimanapun, sekali lagi mereka dilanda ujian berat apabila pasangan kembar, Norzalikha Damia (kakak) pula mengalami nasib sama pada Mei tahun ini. “Dulu masa si adik kena kanser, dia teringin nak pakai baju sekolah sebab tengok adik beradik lain “Tak sangka pula kedua-dua kembar kena kanser yang sama. Doktor cakap penyakit macam ni masih dalam kajian, belum tahu punca kenapa leukemia jenis ni serang kanak-kanak. “Sepanjang dua tahun pertama ni kami berulang alik ke hospital sajalah untuk dapatkan rawatan. Sambut hari jadi baru-baru ni pun dekat hospital,” ujarnya yang bekerja sebagai pemandu lori. Menurut Faris yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata, dia bersyukur diberi peluang dan kesempatan oleh Allah untuk menjaga dua anak yang sakit dan tidak menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. “Doktor beritahu, mungkin sakit kanser ni terjadi dari dalam perut lagi sebab satu kantung dan uri. Risiko nak dapat penyakit sama memang tinggi. “Sebelum ni mereka berdua pergi tadika tapi sekarang dah tak pergi sekolah macam orang lain sebab nak fokus rawatan di hospital dulu. “Sebenarnya ramai juga termasuk jiran tetangga yang terkejut lepas dapat tahu. Biasanya nampak anak kembar kami aktif main di luar rumah siap kayuh basikal tapi tiba-tiba jatuh sakit sampai tak boleh berjalan,” ujarnya lagi. Menurut Faris yang berasal dari Kluang, Johor, dia bersyukur segala kos rawatan masih mampu ditanggung namun mengalu-alukan sekiranya bantuan ingin dihulurkan. Mengenai hantaran dibuat di TikTok, jelasnya, dia bukan mahu meraih simpati namun mengharapkan doa orang ramai agar anak-anaknya diberi kesembuhan segera. “Dulu memang terkejut dan sedih sangat-sangat lepas dapat tahu. Agak sukar nak terima kenyataan, lagi sakit apabila melibatkan nyawa orang anak. “Tapi nak meratap sedih pun tak guna sebab memang ini takdirnya. Kena sabar dan usaha saja apa yang terbaik buat mereka. “Sekarang pun saya lega sangat bila nampak anak dah boleh mula berjalan semula walaupun tempang sedikit. Selain buat rawatan kemoterapi anak saya ada amalkan minum susu jenama Pediasure sebagai makanan tambahan,” ujarnya berkongsi keadaan terkini anaknya. -CARI Sumber:mStar
|
Purplehaz replied at 1-8-2023 03:04 PM
Semoga adik Nurzulaikha Norzalikha diberikan kesembuhan...keluarga dipermudahkan segala urusan.
ADVERTISEMENT