Keluarga wanita Florida, Amerika Syarikat yang meninggal akibat mengambil makanan tambahan diperbuat daripada ketum, menerima pampasan AS$11 juta (RM49.67 juta) selepas menang kes saman terhadap pengeluar produk itu.
Peguam keluarga wanita itu, Tamara Williams berkata, pampasan diterima keluarga anak guamnya itu perlu menjadi peringatan kepada industri ketum mengenai bahan bahaya dan tidak terkawal ini, lapor New York Post. Pada 20 Jun 2021, jururawat, Krystal Talavera, 39, meninggal dunia selepas pengsan secara tiba-tiba di rumahnya di Boynton Beach. Wanita itu ditemukan suaminya, Biaggio Vultaggio dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah mereka. Turut dilihat berada berdekatan dengan mangsa ialah secawan kopi mengandungi makanan tambahan keluaran syarikat The Kratom Distro, Space Dust.
Produk itu yang diperbuat daripada daun ketum dan tidak menerima kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA). Pejabat Koroner Daerah Palm Beach mengesahkan, kematian Talavera akibat mabuk mitragynine akut disebabkan daun ketum. Anak wanita itu, Devin Filippelli, 21, yang memfailkan saman ke atas syarikat itu dan dan pengedarnya, Grow LLC mendakwa, makanan tambahan diambil ibunya itu menghasilkan kesan menyerupai opioid. Katanya, ia menyebabkan kegagalan pernafasan sekali gus mengancam nyawa ibunya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT