Remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas motosikal ditunggang terlanggar seekor lembu yang melintas secara mengejut. Kejadian di Jalan Kampung Kota Bukit di Sik, semalam menyebabkan mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Sik (HS).
Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman mengesahkan siasatan awal mendapati, kejadian 6.30 petang ketika mangsa berasal dari Kampung Banggol Jeneri menunggang motosikal dari arah Kampung Langgok menghala Kampung Kota Bukit. "Apabila sampai di tempat kejadian, remaja terbabit dipercayai terlanggar seekor lembu yang melintas jalan secara mengejut menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikalnya. "Akibat dari kemalangan itu, remaja terbabit mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Bahagian Kecemasan hospital terbabit pada 9.35 malam tadi," katanya di sini, hari ini.
Abdull Razak berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, HS, untuk tindakan lanjut. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sementara itu, Pengarah Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya tiba di lokasi pada 6.30 petang semalam untuk membantu remaja terbabit yang ketika itu parah akibat kemalangan itu. Beliau berkata, mangsa diberi bantuan awal sebelum dihantar ke HS menaiki ambulans BSYJM. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT