Satu laporan polis dibuat terhadap seorang doktor di Makassar, Sulawesi Selatan selepas didakwa menampar kanak-kanak berusia tiga tahun kerana menganggunya bermain catur. Dalam kejadian berlaku di sebuah kedai kopi itu, mangsa merupakan anak kepada pengusaha kedai berkenaan, kata jurucakap polis Makassar, Alim Bachri.
Katanya, kanak-kanak itu mengalami luka pada bahagian bibir akibat terhentuk pada kerusi ketika ditampar doktor berkenaan. “Bapa kanak-kanak itu yang merupakan pemilik kedai tersebut segera membuat laporan polis mengenai insiden yang berlaku,” kata Alim. Dalam pada itu, pengurusan Hospital Bahagia mengesahkan doktor berkenaan bertugas di hospital tersebut. Jurucakap hospital itu, Fakhruddin berkata, doktor itu merupakan Timbalan Pengarah Hospital Bahagia Makassar. “Insiden yang berlaku tidak mempunyai kaitan dengan hospital kami, namun kami simpati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, bapa mangsa, Agung memberitahu, anaknya tidak sengaja terlanggar meja ketika bermain sewaktu doktor tersebut bermain catur. “Doktor itu terus bangun dan menjerit pada anak saya sebelum menamparnya sehingga jatuh. “Saya cuba tenangkan keadaan, namun doktor itu semakin agresif dan mula memaki hamun kami, menyebabkan saya buat laporan polis,” ujarnya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT