TikToker wanita dikejarkan ke hospital gara-gara menyahut cabaran kecergasan '75 Hard'. Portal Insider melaporkan, Michelle Fairburn, yang juga ibu dan broker barang di Toronto, Kanada membuat spekulasi yang dia kemungkinan mengalami keracunan air akibat minum terlalu banyak.
Fairburn membuat pendedahan itu menerusi perkongsian di TikTok, Isnin lalu. Difahamkan, cabaran selama 75 hari itu menuntut peserta bersenam dua kali sehari, mengikut diet yang ketat, dan minum satu gelen (kira-kira 3.7 liter) air setiap hari. Fairburn berkata, pengambilan air yang berlebihan menyebabkan dia berasa tidak sihat. Sementara itu, Scientific American memaklumkan, keracunan air adalah keadaan sebenar yang berpunca akibat minum berlebihan dan ia boleh membawa maut.
Pada hari ke-12 cabaran, Fairburn memberitahu yang dia berasa tidak sedap hati ketika hendak tidur malam, dan bangun beberapa kali pada waktu malam untuk ke tandas. Menurut Fairburn, dia kemudian tidak boleh makan, loya, lemah dan sudah berada di tandas sepanjang pagi. "Saya melakukan cabaran '75 Hard'. Jadi saya minum air yang berlebihan," katanya. "Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya. Meskipun popular di TikTok, cabaran '75 Hard' tetap dikritik sesetengah pihak sebagai keterlaluan kerana boleh menyebabkan keletihan berbanding mendapat kesihatan yang lebih baik. Kebimbangan kebanyakan pakar bukan tertumpu pada minum air tetapi sudut psikologi cabaran, yang tidak membenarkan 'hari cuti' atau mekanisme lain memberi rehat kepada badan manusia. Jika terlepas satu hari dalam cabaran, individu terbabit perlu bermula semula dari hari pertama. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT