“Jodoh rahsia Tuhan, saya pun tidak tahu bagaimana pengakhiran hubungan ini, saya ambil langkah bersederhana dengan tidak mahu terlalu banyak berkongsi.” Dek status bujang dan sering diselubungi kisah lara jiwa, isu peribadi Sufian Suhaimi lebih mudah menangkap sensasi berbanding soal karier mahupun bisnes.
Penyanyi itu bagaimanapun tidak melatah meski disua soal kekasih. “Saya macam orang lain, bercinta dan pernah putus, namun jika orang kata saya akan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat, maka jawapan saya ialah tidak. “Saya masih lagi dalam fasa mengenali hati budi si dia, setiap perhubungan menuntut proses yang pasti mengambil masa bukan sehari dua," ujarnya yang lebih selesa untuk tidak terlalu mendedah soal cinta. Penyanyi asal Mersing, Johor itu juga tidak menafikan sering dilemparkan kata-kata kurang enak memperlekehkan teman wanitanya yang tidak berhijab dengan perniagaan bantal zikir yang diusahakannya.
“Apa yang saya buat cuma mahu berkongsi kebaikan melalui zikir dan selawat. Itu perjuangan saya untuk berdakwah dan dalam masa sama mencuba sesuatu yang baru. “Saya tahu ada orang kaitkan bantal zikir itu dengan penampilan teman wanita saya. Saya ambil maklum terhadap komen ramai. “Saya terima nasihat dan teguran kerana ada yang betul, tetapi jika kurang tepat saya tolak,” jelasnya panjang lebar. Sumber: Kosmo! Online
|
ADVERTISEMENT