Pelakon Ellie Suriaty mendedahkan hubungan bekas suaminya, Azri Iskandar dan anak-anak dalam keadaan baik malah aktor itu tidak pernah culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai bapa. Kata aktres itu lagi, dia juga sering menasihati anak-anaknya agar sentiasa menjaga silaturahim dengan Azri selain menghubungi atau bertemu dengannya.
"Anak-anak pun rapat dengan bapa mereka, saya tak pernah pisahkan mereka dengan Azri. "Saya selalu ingatkan anak-anak menelefon bapa mereka setiap hari. Alhamdulillah dia pun tak pernah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai bapa," katanya. Setahun selepas bercerai, Elly dan Azri kembali bertemu ketika menghadiri pelancaran Tiga Drama Hebat yang diadakan di ibu negara pada petang Selasa. Ellie tidak mempunyai sebarang masalah bertemu Azri malah tiada dendam dalam dirinya meskipun mereka sudah tiada ikatan sebagai suami isteri.
Tidak hanya itu, Ellie dan Azri bergandingan sebagai pelakon undangan dalam drama bersiri terbaharu Tanah Kubur yang bakal bersiaran di Astro Ria pada 11 Ogos ini. Kata Ellie, dia tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dalam drama atau filem bersama bekas suaminya itu namun bukan dalam satu babak yang sama. "Kami sudah hidup bersama selama 19 tahun... takkanlah nak buat-buat tak nampak kalau bertemu di majlis melibatkan kami berdua. Saya tak pernah bermusuh dengan Azri malah penceraian kami sebelum ini pun secara baik. "Apabila berada dalam majlis seperti ini, sudah pasti saya mahu meraikan penganjur dan menghormati jemputan dibuat, kena profesional. "Saya profesional untuk berlakon dalam drama atau filem bersama tetapi janganlah dalam satu babak yang sama. Tetapi kalau sudah berada dalam satu set penggambaran apa boleh buat... Cuma harapnya tidaklah digandingkan dalam babak sama," jelasnya. Untuk rekod, Ellie dan Azri atau Azri Iskandar Zulkiffly, 55, bercerai talak satu pada 17 Mei tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 18, dan Nur Azreen, 14 tahun. Menerusi perkahwinan terdahulu, Azri juga dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistina, 29 dan Nur Anis Mastura, 27 tahun. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT