Berpuluh maut dalam kejadian lori tangki bahan api meletup di Ondo pada Ahad. Polis Nigeria pada Isnin mengesahkan mangsa terperangkap dalam kebakaran ketika mengumpul bahan api dari lori tangki yang terbabas dan terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di bandar Ore Ondo, kata jurucakap polis di Ondo, Funmilayo Odunlami, lapor Xinhua.
Odunlami berkata, siasatan polis mengesahkan mangsa sedang "menceduk bahan api dari lori tangki" semasa kebakaran bermula. Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang mati terbakar, dipercayai akibat percikan dari telefon yang dipegang oleh seorang daripada mangsa. Penduduk tempatan bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendengar bunyi dentuman kuat. Akhbar tempatan Punch yang memetik saksi melaporkan bahawa sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak turut terkorban. Kegiatan mengumpul bahan api dari lori tangki biasa berlaku di Nigeria dan kerap menyebabkan kematian serta kemusnahan.
Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT