Klang: Polis menahan tiga individu termasuk wanita dipercayai terbabit dengan kebakaran sebuah bengkel motosikal di Kapar dekat sini, awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 25 tahun ditahan di Jalan Bukit Kapar pada 2 petang.
Katanya, terdahulu pihaknya menerima laporan berkaitan perbuatan khianat dengan api pada 8.53 pagi, dan turut tular di media sosial. "Bertindak atas maklumat, tiga suspek itu ditahan dan motif kejadian masih dalam siasatan. "Semakan awal ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau mana-mana balai polis berdekatan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT