Washington: Dua beradik di Amerika Syarikat memfailkan saman bernilai AS$60 juta (kira-kira RM274.47 juta) terhadap pusat pengebumian atas dakwaan salah mengebumikan seorang lelaki di kubur bapa mereka, lapor New York Post.
Mengikut tuntutan mahkamah, Stacy Holzman dan Megan Zaner mendakwa Fletcher Funeral and Cremation Service di Fountain Inn, meletakkan mayat salah yang dipakaian pakaian pengebumian bapa mereka. Bapa mereka, Clifford Zaner meninggal dunia akibat kegagalan jantung di rumahnya di South Carolina, 25 Februari lalu, pada usia 72 tahun. Lelaki itu pernah memberitahu keluarganya, mahu dikebumikan dengan seluar jeans hitam dan kemeja-T Led Zeppelin kegemarannya . Selepas dia meninggal dunia, mayatnya sepatutnya dihantar ke New York, namun jasad individu lain pula dihantar sebelum dikebumikan dengan pakaian kegemaran ayah mereka.
Stacy berkata, mereka menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas meminta untuk melihat ayah mereka buat kali terakhir. "Terdapat bendera merah ketika kami melihat jasad itu, bendera merah besar. Perkara pertama yang saya perhatikan apabila mereka membuka peti mayat itu bukan misai… Perkara pertama yang saya lihat hanyalah bibir atas yang kosong dan saya tidak boleh berhenti memberi tumpuan padanya. "Jasad itu juga mempunyai jahitan pada dahinya, menunjukkan bedah siasat dilakukan sedangkan bapa mereka tidak menjalani prosedur itu," katanya kepada the Daily Beast. Adik beradik itu mendakwa, mereka tidak menerima pulangan bayaran untuk pengebumian pertama sebelum membuat tuntutan di mahkamah. "Saya mahu mereka bertanggungjawab atas kesilapan ngeri ini dan tidak mahu ia berlaku kepada orang lain," kata Megan. Pusat pengebumian The Star of David Memorial Chapel menegaskan, mayat itu adalah Zaner dan memberi jaminan mereka menerima jasad yang betul daripada Fletcher Funeral and Cremation Service. Bagaimanapun, selepas tiga minggu, pihak pusat pengebumian memaklumkan, memang berlaku kekeliruan sehingga pengebumian kali kedua terpaksa disempurnakan di Jacksonville, pada 24 Mac lalu. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT