Konsert Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung sehingga Ahad akan diteruskan seperti dijadualkan meskipun acara itu terpalit dengan kontroversi melibatkan vokalis kumpulan The 1975 pada persembahan yang berlangsung pada malam Jumaat.
Pihak penganjur menerusi kenyataan media memberitahu kesal dengan aksi ditunjukkan oleh Matty Healy pada set persembahan kumpulan itu selain tidak mengikut syarat persembahan ditetapkan di negara ini. Sebagai menebus insiden memalukan itu, pihak penganjur memberi peluang kepada pemegang tiket sehari pada Jumaat untuk kembali ke Litar Antarabangsa Sepang bagi menonton persembahan sama ada pada malam Sabtu (malam ini) atau Ahad. Pemegang tiket hanya perlu membawa pas gelang tangan yang diberikan sebelum ini dan ditunjukkan pada penjaga di pintu masuk acara. Pada malam Jumaat, persembahan The 1975 dihentikan serta merta selepas Matty menunjukkan pelbagai aksi kurang ajar dihadapan penonton termasuk memegang botol arak, berada dalam keadaan mabuk serta meludah di atas pentas.
Tidak cukup dengan itu, Matty menyelar dan menghina undang-undang berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia sebelum bertindak mencium pemain bass kumpulan itu, Ross McDonalds. Pada persembahan pada malam Sabtu, acara itu bakal menampilkan persembahan daripada The Kid Laroi, Alexander 23, Alyph, Porter Robinson, Emo Night KL & Friends dan Mardiana. Manakala malam terakhir pula bakal menampilkan The Strokes, Blink, Hujan, Peach Tree Rascals, Ty Dolla Sign, Naufal, Talitha, The Filters dan Ashley Lau. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT