Penemuan bom buatan tangan yang diletakkan pada tayar belakang kereta peguam, Siti Zabedah Kasim semalam akan disiasat secara menyeluruh mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan dan Kakisan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan siasatan mengenai kejadian itu sedang dijalankan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengesahkan objek yang ditemukan dipercayai bom jenis Improvised Explosive Device (IED). Kata beliau, pihaknya menerima laporan tersebut kira-kira pukul 12.38 tengah hari daripada seorang wanita dikenali sebagai Siti Kasim yang mendakwa ada objek menyerupai bom diletakkan di bahagian tayar belakang kereta Toyota Celica miliknya. “Sejurus terima panggilan itu, pasukan polis serta merta menutup kawasan sekitar kenderaan yang mempunyai bahan letupan terbabit serta memanggil Unit Pemusnah Bom (UPB) dan bomba.
“Pemeriksaan dilakukan mendapati dua botol plastik yang diletakkan di bahagian tayar belakang itu dipercayai bom jenis IED,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Jalan Maarof, di sini, semalam. Menurutnya, bom tersebut berjaya dibawa keluar dan akan dihantar kepada pakar (Unit Forensik) untuk pengesahan yang lebih tepat. “Siasatan terhadap mangsa pula mengatakan dia berada di lokasi kejadian untuk servis kereta tersebut sebelum memulakan perjalanan ke Kelantan. “Menurut mangsa, dia ada menerima ancaman sebelum ini dan selebihnya masih dalam siasatan,” jelasnya. Dalam pada itu, Siti Kassim ketika ditemui berkata, dia hanya mengetahui keberadaan bom berkenaan di tayar kenderaan miliknya selepas dimaklumkan oleh pemilik bengkel. Katanya, dia menghantar kenderaanya itu untuk diservis kerana akan ke Kelantan bagi menyelesaikan isu Orang Asli di sana selain sudah sampai tarikh pemeriksaan yang sepatutnya. Siti Kassim turut mengakui ada menerima ugutan sebelum ini tetapi mengendahkannya. “Saya tidak pasti siapa yang berdendam dengan saya. Sudah pasti ramai tidak sukakan saya memandangkan kelantangan saya,” katanya. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT