Video tular didakwa seorang wanita diserang sekumpulan lelaki warga asing di sebuah kedai baru-baru ini tidak benar. Sebaliknya, warga warga Bangladesh yang menimbulkan kekecohan di Prima Saujana, Kajang bergaduh sesama sendiri.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pemilik poliklinik berkenaan. "Berdasarkan laporan yang dibuat, kejadian berlaku pada 6 petang Rabu lalu ketika pemilik premis berkenaan sedang bertugas dan didatangi dua kumpulan warga Bangladesh untuk pemeriksaan kesihatan. "Kedua-dua kumpulan ini dibawa oleh dua ejen berlainan yang juga warga Bangladesh. Ketika kedua-dua kumpulan warga asing berada di hadapan premis terbabit berlaku pertengkaran sehingga mereka membawa keluar beberapa batang kayu hoki," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keadaan menjadi semakin tegang sehingga berlaku tolak menolak antara mereka dan salah seorang suspek masuk dalam premis berkenaan. "Petugas di premis terbabit menjerit dan menghalau keluar semua warga asing itu. "Punca kejadian adalah berebut pelanggan iaitu warga asing untuk pemeriksaan kesihatan. "Siasatan juga mendapati, tiada kejadian 'warga asing serang wanita di klinik' seperti ditularkan di sosial media," katanya. Mohd Zaid berkata, susulan itu pihaknya menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu. "Suspek berusia antara 24 hingga 32 tahun di tahan di sekitar Sentul dan Setapak, Kuala Lumpur. "Semua di reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT