Fadlan Hazim mendedahkan dia sebenarnya tidak sihat beberapa hari sebelum bernikah. Katanya dia demam kerana kurang rehat berikutan jadual kerja yang padat dan sibuk menyiapkan drama adaptasi 50 episod terbitan Global Station Sdn Bhd.
"Saya demam bukan sebab gementar nak akad nikah ataupun fikir macam-macam mengenai majlis kahwin kami. Cuma, kurang rehat saja. Tapi, alhamdulillah semua lancar dan kami sudah menjadi suami isteri. "Memang jadual kerja saya agak padat, cuaca pun tidak menentu dan kurang rehat pula, itu puncanya (demam). Tapi, berbaloi juga sebab masih dapat bernikah dan saya lega apa yang kami rancang untuk perkahwinan ini dipermudahkan Allah," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga mengenai majlis nikah yang sederhana itu, Fadlan berkata, dia dan isteri, Aiya ingin melakukan perkara penting iaitu bernikah dahulu. Katanya, mereka merancang majlis resepsi pada pertengahan Oktober depan yang disertai ibu bapa dan keluarga Aiya. "Sekarang kami berdua sibuk dengan urusan kerja masing-masing terutama saya yang hanya bercuti beberapa hari dan akan masuk ke set penggambaran semula. Alhamdulillah syukur rezeki berlakon saya pun tidak putus-putus. "Bagi saya ini rezeki berkahwin kerana sebagai suami dan ketua keluarga, saya kena bersemangat bekerja untuk menyara isteri. Malah, Aiya juga memahami karier saya dan insya-Allah, dia tidak terlalu cemburu."
"Bagi adegan bersentuhan, saya sudah lama menjaga batas ketika berlakon. Ini kerana, saya amat menghormati rakan pelakon wanita yang bekerjasama itu. Ditambah ada antara mereka sudah berkahwin dan berstatus isteri orang. "Jadi, wajar untuk saya menjaga batas antara kami ketika berlakon kerana tahu ada hati yang perlu dijaga iaitu pasangan (suami) mereka. Setakat ini, alhamdulillah hasil kerja lakonan saya masih baik walaupun tidak melakukan adegan bersentuhan," katanya. Fadlan berkata, dia juga banyak berbincang dengan pengarah dan rakan pelakon terbabit. Katanya lagi, apa yang pasti, pengarah serta penulis skrip juga memahami dan dapat menerima keputusan itu dengan baik.
Selamat dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Muhammad Fairudz Saderi dengan sekali lafaz, Fadlan mengakui dia juga memahami bidang kerja Aiya sebagai jurutera komputer.
Pada majlis pernikahan itu yang hanya dihadiri ibu dan keluarga Fadlan serta kenalan rapat mereka, Aiya menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin emas berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|