LONDON – Seorang graduan Universiti Newcastle di England tergamam apabila dilamar teman lelakinya ketika dia menerima ijazah semasa menghadiri majlis konvokesyen. LadBible melaporkan, dalam klip video yang dikongsikan pihak Universiti Newcastle di laman Twitter, wanita berkenaan dilihat berjalan menghampiri pentas di dewan King’s Hall untuk menerima ijazahnya.
Secara tiba-tiba, teman lelakinya muncul dan berlutut di hadapan wanita tersebut lalu melamarnya sambil memegang sebentuk cincin. Tindakan itu membuatkan dia tergamam, namun disambut sorakan hadirin. Wanita itu mengangguk kepala sebagai tanda setuju dan disambut oleh tepukan gemuruh penonton sebelum teman lelakinya menyarung cincin lamaran ke jarinya. Tetamu kehormat majlis itu turut sama memberikan penghormatan kepada pasangan tersebut dengan berdiri dan bertepuk tangan.
“Ada pelbagai cara untuk menjadikan hari bersejarah anda di King’s Hall agar lebih diingati #WeAreNCL #NCLGrad,” demikian menurut keterangan pada video yang dimuat naik itu. Video itu menjadi tular, namun rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakan teman lelaki wanita berkenaan kerana menganggap ia mengganggu hari penting tersebut. “Sangat teruk. Kasihan wanita itu. Salah satu daripada hari terindah buatnya telah dirampas oleh seorang lelaki yang mementingkan diri sendiri,” kata seorang netizen. “Pesanan untuk lelaki. Jangan bertindak begini,” ujar netizen lain. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT