Diana Danielle memfailkan nusyuz terhadap suaminya, aktor Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Khamis. Peguam syarie yang mewakili Diana iaitu Azmi Mohd Rais memaklumkan tuntutan itu dibuat atas alasan Farid tidak menjalankan tanggungjawab dalam rumah tangganya bersama Diana.
"Pihak kami baru memfailkan nusyuz terhadap Farid atas alasan tidak menjalankan tanggungjawab dalam rumah tangga," katanya kepada pemberita. Diana sebelum itu hadir ke mahkamah berkenaan bagi menghadiri sebutan semula tuntutan nusyuz yang dibuat Farid terhadapnya pada 6 April lalu. Hakim Syarie Shukran Yusof bagaimanapun menangguhkan kes itu pada 23 Ogos ini susulan Farid tidak hadir pada prosiding kes tersebut. Farid tidak hadir selepas memaklumkan dia positif jangkitan Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin kendiri.
Dalam pada itu, Diana berkata, tindakannya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Farid disifatkan sebagai proses biasa bagi mana-mana pasangan yang sedang berdepan kemelut rumah tangga. Kata Diana, setiap pasangan mempunyai hak untuk memfailkan sebarang tuntutan di mahkamah. "Ini masih peringkat awal. Ia adalah proses biasa. Semua pihak ada hak untuk memfailkan tuntutan mereka," katanya. Pada 6 April lalu Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, memfailkan perintah kembali taat dan tuntutan sabitan nusyuz terhadap Diana. Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora berusia 8 tahun. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT