Pada 4 Julai lalu, Judika menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila penyanyi itu memadam semua foto di akaun Instagram miliknya. Hantaran yang dibuat turut disertakan dengan kapsyen ucapan terima kasih kepada semua peminat yang telah menyokongnya selama ini menimbulkan spekulasi penyanyi itu bakal mengundurkan diri dari dunia seni.
Pemilik nama sebenar, Judika Nalon Abadi Sihotang, 45, bagaimanapun menjelaskan dia tidak mempunyai niat untuk berhenti menyanyi dan meluahkan rasa terharu apabila ramai yang bertanyakan tentang keadaan dirinya. "Sebenarnya saya sendiri takut dengan gimik ini sebab kapsyen yang ditulis membuatkan orang ramai menganggap saya mahu menghilangkan diri. "Niat saya sebenarnya hanya ingin memberitahu tentang konsert yang bakal berlangsung dengan cara istimewa kepada peminat. "Saya tidak ada niat untuk menghilang... daripada satu sisi yang lain, ketika saya membaca komen peminat, terbukti rupa-rupanya ramai yang sayang kepada saya.
"Terima kasih kepada semua yang mengambil berat tentang diri saya," ujarnya. Dalam pada itu, penyanyi berkenaan menjelaskan gimik tersebut bukanlah atas kehendaknya namun hanya menerima idea daripada syarikat pengurusannya. "Sebenarnya saya juga tidak pernah melakukan gimik seperti ini, semuanya idea daripada pasukan saya yang memikirkan tentang bagaimana caranya untuk memberi kejutan tentang konsert pertama saya di Malaysia. "Saya hanya bersetuju kerana tidak biasa melakukan perkara (gimik) ini," jelasnya. Sementara itu, Judika turut berkongsi rasa teruja apabila bakal menghiburkan peminat menerusi Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang yang akan diadakan pada 21 Oktober depan. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT