Kasih ayah membawa ke syurga. Begitulah juga Saipol Nizam Ali Piah, 47, yang cekal anaknya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) sejak 12 tahun lalu. Anak bongsi daripada empat beradik, Anwareel Madyna, 14, dilahirkan normal namun disahkan mengalami gegaran otak dan masalah saraf tulang belakang seawal usia dua tahun dipercayai akibat terjatuh ketika berada di bawah jagaan pengasuh.
Selepas daripada peristiwa tersebut, dia tidak lagi dapat membesar sama seperti kanak-kanak biasa. Anak perempuannya itu perlu sentiasa dijaga 24 jam sehari kerana dia boleh diserang sawan mahupun kekejangan otot pada bila-bila masa sahaja. Disebabkan situasi itu, Saipol yang pernah bertugas sebagai pemandu lori sekitar tahun 2011 terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menjaga anaknya itu.
Menurut Saipol, oleh kerana keadaan tersebut, dia akan sentiasa membawa Anwareel ke mana-mana sahaja termasuk ketika menghantar abang dan kakaknya ke sekolah. Pada waktu ini, Saipol berkata, Anwareel akan dibawa ibunya untuk menjalani rawatan terapi di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Puncak Alam, Selangor sebanyak dua kali sebulan. Selain itu, dia yang juga berasal dari Puchong itu memberitahu anaknya akan turut dibawa untuk berurut seminggu sekali. Menceritakan rutin hariannya bersama Anwareel, Saipol berkata, dia akan memulakan hari dengan memandikan anaknya itu sebelum membiarkannya menonton kartun kegemaran iaitu siri Upin dan Ipin. Jelasnya, anaknya itu kemudian akan kembali tidur sekitar tengah hari sebelum bangun semula pada waktu petang. Bapa itu mengakui dia masih menyimpan hasrat untuk melihat anaknya kembali sihat dan menjalani rutin harian sama seperti insan normal lain. Dalam pada itu, Saipol mengakui keluarganya menghadapi kekangan daripada segi perbelanjaan selepas hanya bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebuah sekolah di Meru Klang, Selangor. Anak lelakinya yang berusia 22 tahun juga kini masih tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk membantu menyara keluarganya. Bagaimanapun, Saipol berkata, dia bersyukur kerana turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kira-kira RM300 daripada Lembaga Zakat Selangor bagi membeli barangan keperluan Anwareel. Dua lagi anak Saifol masing-masing masih belajar dengan salah seorang daripadanya yang juga anak perempuan berusia 20 tahun kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) manakala seorang lagi anak lelakinya masih berada di tingkatan empat sekolah menengah. Sumber: Majoriti
|
ADVERTISEMENT